Baru-baru ini, syarikat pembangun permainan video Horizon Zero Dawn, Guerilla akan berkolaborasi dengan Titan Comics untuk menghasilkan komik bersiri dengan jalan cerita yang baharu selepas peristiwa yang berlaku di dalam versi permainan video asal.

Pembaca akan dapat mengetahui dengan lebih lanjut apa yang bakal berlaku kepada Aloy (watak utama HZD versi permainan video) selepas kejadian yang berlaku di dalam versi permainan video.

Menurut laporan daripada Polygon, Titan Comics bakal melancarkan komik Horizon Zero Dawn jilid 1 secara fizikal dan digital bermula 22 Julai 2020.

Horizon Zero Dawn

Jalan cerita yang baharu ini akan membawa pembaca mengikuti kisah Talanah Khane Radish, seorang pemburu pelatih yang mencari tujuan hidup selepas kehilangan rakannya iaitu Aloy. Talanah bakal menyiasat ancaman misteri baharu yang bakal mengganggu kenteraman kampungnya dan memburu raksasa mesin pembunuh baharu yang lebih kejam daripada sebelum ini.

Siri terbaru ini akan ditulis oleh Anne Toole, salah seorang penulis asal bagi jalan cerita untuk versi permainan video dan seni visual akan dilakarkan oleh artis Ann Maulina.

Permainan video Horizon Zero Dawn telah pun dilancarkan pada 28 Februari 2017. Permainan video yang berunsur aksi dan Role-playing game ini telah menerima pelbagai anugerah pada tahun tersebut. Selain itu, permainan video ini juga telah terjual sebanyak 10 juta salinan di seluruh dunia sejak dilancarkan 3 tahun lalu. Versi PC akan dilancarkan di laman web Steam pada musim panas ini.