Pada awal bulan lalu, Netflix telah menayangkan kesemua episod untuk musim ke-3 siri animasi Castlevania di saluran mereka. Kini, Netflix mengesahkan pula musim ke-4 untuk siri ini akan diteruskan. Ini sedikit sebanyak menjawab persoalan peminat animasi Castlevania sama ada animasi ini diteruskan atau tidak

Perkara tersebut diumumkan oleh Netflix melalui laman Twitter rasmi mereka semalam.

Namun begitu, Netflix dilihat tidak berkongsi sebarang tarikh pelancaran mahupun jumlah episod bagi musim ke-4 tersebut. Ianya berkemungkinan bukanlah dalam masa terdekat ini untuk musim baharu ditayangkan. Berdasarkan rangka masa untuk musim-musim sebelum ini, berkemungkinan Castlevania musim ke-4 bakal ditayangkan pada pertengahan atau hingga lewat tahun depan.

Walaupun begitu, setakat ini, siri tersebut mempunyai sejumlah 22 episod yang terbahagi kepada 3 musim dan ianya telah pun dilancarkan di Netflix.

Netflix Castlevania

Untuk mereka yang tidak tahu atau belum mengikuti animasi Castlevania ini, Castlevania adalah sebuah web televisyen animasi orang dewasa Amerika Syarikat berdasarkan siri permainan video Jepun dengan nama yang sama yang dihasilkan oleh Konami.

Dua musim pertama adalah berdasarkan permainan video Castlevania 3: Dracula Curse yang dikeluarkan pada tahun 1989 untuk platform Nintendo Entertainment System (NES). Ianya mengisahkan tentang 3 watak utama iaitu Trevor Belmont, Alucard dan Sypha Belnades mempertahankan negara Wallachia dari Dracula dan tentera-tenteranya.

Manakala musim ke 2 dan 3 masih mengekalkan watak-watak yang sama tetapi jalan ceritanya berdasarkan permainan video Castlevania: Curse of Darkness yang dikeluarkan pada tahun 2005 untuk pelantar PlayStation 2 dan Xbox.

Untuk mereka yang masih belum menonton lagi animasi ini, anda boleh menonton animasi ini bermula dari musim pertama hingga musim ketiga di Netflix.

Untuk peminat yang tidak sabar untuk menantikan musim ke-4 seperti penulis, kami akan mengemaskini sebarang informasi lanjut berkenaan animasi ini apabila ia diumumkan secara rasmi kelak.