Nampaknya ianya bukan lagi sekadar khabar angin, Call of Duty: Modern Warfare 2 Remastered benar-benar telah dilancarkan hari ini di konsol PlayStation 4 dan ya: misi yang penuh kontroversi iaitu ‘No Russian’ masih kekal untuk versi penambah baikan ini.

Call of Duty: Modern Warfare 2 telah dilancarkan secara ekslusif di konsol PS4 terlebih dahulu, dan akan dilancarkan di platform PC dan Xbox One 30 hari kemudian iaitu pada 30 April ini. Namun begitu, pemain untuk kedua platform ini sudah boleh membuat pra-tempah mulai hari ini. Versi penambah baikan kali ini dibangunkan oleh Beenox dan menyokong sehingga resolusi 4K dan HDR.

Activision membuat kejutan dengan mengumumkan secara rasmi permainan ini pada hari pelancarannya. Call of Duty: Modern Warfare 2 Remastered ini ditambah baik dari segi grafik untuk keseluruhan jalan ceritanya termasuklah misi ‘No Russian‘ yang pernah menjadi kontroversi suatu ketika dahulu. Namun begitu, hanya mod kempen solo sahaja yang mendapat penambah baikan, dan tiada mod multi-pemain dimasukkan untuk versi Remastered ini.

Bagi setiap pembelian MW2 Remastered, pembeli akan mendapat kandungan tambahan berkas “Underwater Demo Team Classic Ghost” untuk Call of Duty: Modern Warfare yang dilancarkan pada tahun lalu.

Menurut laporan Forbes, versi Remastered ini dijual pada harga USD19.99 (~RM86.27) untuk pasaran barat. Namun, Call of Duty: Modern Warfare 2 Remastered dijual di PS Store Malaysia dengan harga RM117.

Call of Duty: Modern Warfare 2 Remastered

Pelancaran rasmi bagi permainan video ini dibuat selepas beberapa hari maklumat berkenaannya telah tertiris di media sosial, terutamanya di Jerman. Trailer untuk permainan ini telah dimuat naik di laman PlayStation Store di negara tersebut lebih awal berbanding negara lain. Walaupun hanya sebentar sahaja dimuat naik di laman tersebut, beberapa pemain sempat membeli dan memuat turun permainan ini dan ada di antara mereka yang memuat naik permainan mereka secara atas talian di laman Twitch ketika bermain permainan video ini.

Untuk makluman semua, Musim ke-4 Call of Duty Mobile turut dilancarkan hari ini. Pelbagai mod baharu telah ditambah untuk musim ini. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

COD Mobile Musim Ke-4 Bakal Dilancarkan Awal April Ini, Mod dan Peta Baharu Telah Tiba