Seperti semua sedia maklum, acara E3 2020 telah dibatalkan pada tahun ini gara-gara penularan wabak Covid-19. Namun menurut pihak penganjurnya, acara tersebut akan digantikan dengan pembentangan digital oleh pembangun-pembangun permainan video yang terlibat.

Hari ini, Entertainment Software Association (ESA) selaku penganjur acara tersebut mebuat satu pengumuman yang mengejutkan bahawa E3 2020 akan dibatalkan sepenuhnya dan pembentangan digital yang diperkatakan sebelum ini juga tidak akan dilangsungkan. Pihaknya telah mengesahkan mereka akan melangkau acara tersebut sepenuhnya pada tahun ini.

E3 2020

Memetik laporan daripada IGN, “Memandangkan gangguan yang dibawa oleh pandemik COVID-19, pihak kami tidak akan membentangkan  acara E3 2020 secara atas talian pada bulan Jun ini” ujar mereka dalam satu kenyataan media yang diberikan kepada IGN. Sebaliknya, ESA akan bekerjasama dengan pembangun-pembangun untuk membantu dalam mempromosikan dan mempamerkan pengumuman syarikat secara individu di www.E3expo.com, dalam beberapa bulan akan datang.

Selain itu, pihaknya juga berharap dapat menghubungkan pihak industri dan komuniti bersama-sama pada tahun 2021 bagi membentangkan E3 yang bakal diberikan nafas baru yang pastinya akan menjanjikan satu pengalaman yang mampu untuk mengembirakan penonton mereka nanti.

Untuk mereka belum mengetahui tentang acara E3, E3 merupakan sebuah ekspo untuk industri permainan video komputer dan lain-lain yang dianjurkan oleh Entertainment Software Association (ESA). Ekspo ini digunakan oleh ramai pembangun permainan video untuk menunjukkan judul-judul permainan video mereka yang akan datang selain daripada perkakas komputer.

Acara ini dianggap sebagai salah satu ekspo terulung dalam industri permainan video dan kebanyakan para kritik permainan video, termasuklah GameSpot, G4, IGN dan Game Informer Magazine merekodkan ekspo tahunan ini secara rutin dan kadang-kala mempersembahkan beberapa siri anugerah E3.

Sementara itu, IGN baru-baru ini telah mengumumkan bahawa meraka akan menjadi tuan rumah untuk acara “Summers of Gaming “pada awal bulan Jun ini, yang mana akan melibatkan rakan kongsi mereka  seperti Square Enix, Sega, Bandai Namco, Amazon, Google, Twitter, Devolver digital, dan THQ Nordic. Tujuan acara ini diadakan adalah untuk megisi kekosongan yang ditinggalkan E3 disebabkan pembatalan mereka gara-gara wabak Covid-19.

Baru-baru ini juga, pihak ESA telah mengumumkan tarikh rasmi E3 2021 akan dilangsungkan pada 15 Jun hingga 17 Jun tahun hadapan. Klik pautan di bawah untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan pengumuman tersebut.

E3 2021 Diumumkan Bakal Berlangsung Pada 15 Jun Hingga 17 Jun 2021