Selepas tayangan filem animasi BoBoiBoy Galaxy The Movie 2 tahun lalu, Monsta mengesahkan mereka sedang memfokuskan untuk siri animasi Mechamato bagi tahun 2020 ini, dan baru-baru ini mereka telah memperlihatkan siri baharu mereka iaitu Mechamato secara rasmi di saluran YouTube mereka.

Untuk makluman semua, siri animasi Mechamato akan memfokuskan watak Amato iaitu ayah kepada BoBoiBoy yang mana beliau mempunyai sfera kuasa MechaBot. MechaBot merupakan satu kuasa Power Sphera yang berupaya untuk berasimilasi dengan pelbagai objek termasuk Amato sendiri.

Seperti yang anda lihat di video tersebut, semestinya siri ini kelihatan sangat menarik dengan visual rekaan watak yang sangat realistik dan menawan digabungkan pula dengan kesan robotik MechaBot yang sangat kompleks. Secara peribadi, penulis amat menyukai konsep animasi ini yang mana seperti menggabungkan konsep watak Iron Man dan Transformers dalam satu universe.

Lebih menarik lagi, di penghujung video ‘trailer’ tersebut, kita dapat lihat beberapa watak robotik yang mungkin menjadi rakan ataupun musuh-musuh yang bakal Amato dan MechaBot tempuhi dalam siri animasi terbaru Monsta ini.

Mechamato

Menurut kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Razak di Facebook, video tersebut sememangnya lebih kepada konsep dan klip buat siri tersebut yang pada mula akan diperlihatkan untuk rakan kongsi dan orang dalaman sahaja. Namun, dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) ini, pihak mereka mengambil keputusan untuk mempertontonkan secara rasmi buat peminat dan terdapat lebih banyak pengumuman yang menarik tentang Mechamato dan BoBoiBoy kelak.

Dengan pengumuman ini juga,secara rasminya animasi Mechamato menjadi sebahagian daripada dunia Power Sphera Universe (PSU) iaitu dunia penceritaan yang terdapat di dalam siri BoBoiBoy yang dikembang dari segi aspek filem, animasi mahupun komik.

Di samping itu, Monsta juga turut mengadakan cabaran khas untuk peminat-peminat mereka dalam menghasilkan karya sendiri di mana mereka perlu menjenterakan MechaBot dengan objek televisyen. Bagi anda yang berminat untuk menyertai cabaran ini, anda boleh dapatkan maklumat lanjut di media sosial Monsta di Facebook mahupun Twitter rasmi mereka.

Namun begitu, tarikh tayang rasmi Mechamato belum diumumkan lagi oleh pihak Monsta. Mungkin, maklumat lanjut berkenaan tarikh tersebut akan diumumkan oleh Monsta dalam masa terdekat ini.

Sebelum ini, KBS dan ESM telah menganjutkan kejohanan PUBGM dan Mobile Legends sempena PKP ini. Klik pautan di sini untuk bacaan lanjut.