Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Bloomberg, Sony Corporation dikatakan akan mengehadkan pengeluaran PS5 untuk tahun pertama. Namun begitu, tiada sebarang perubahan pada tarikh pelancaran bagi konsol generasi baharu tersebut yang mana telah ditetapkan akan dilancar pada penghujung tahun ini.

Mereka dikatakan merancang untuk mengeluarkan sebanyak 5-6 juta unit sahaja sehingga Mac 2021, berbeza dengan PlayStation 4 lalu di mana ia terjual sebanyak 7.5 juta unit untuk 6 bulan pertama pengeluaran.

Hal ini terjadi disebabkan permintaan untuk PS5 mungkin tidak setinggi yang diharapkan kerana harga ketika pelancaran yang mahal gara-gara kos produksi yang tinggi.

Sony

Menurut laporan itu lagi, sumber daripada Sony juga mengatakan pandemik Covid-19 dikatakan tidak memberi kesan kepada keupayaan Sony untuk mengeluarkan konsol tersebut tetapi ianya memberi kesan kepada promosi bagi konsol tersebut.

Oleh kerana itu, Sony dikatakan akan bergantung harap kepada PS4 untuk membawa pengguna baharu ke perkhidmatan mereka seperti PS Plus dan PS Now. Jadi, harga PS4 dan PS4 Proberkemungkinan akan diturunkan lagi apabila PS5 dilancarkan kelak.

Selain itu, laporan tersebut turut mengatakan bahawa keadaan semasa pandemik Covid-19 mungkin akan mengubah strategi yang akan digunkan Sony dari semasa ke semasa, tetapi untuk tarikh pelancaran, berkemungkinan besar tiada perubahan, terutama jika Microsoft nekad untuk melancarkan Xbox Series X tahun ini juga.

Sesetengah penganalisis percaya bahawa persaingan di antara PlayStation dan Xbox, terutama di Amerika Syarikat, boleh memaksa kedua-dua syarikat menjual konsol baru mereka sambil menanggung kerugian.

Menurut penganalisa, Damian Thong daripada Macquarie Capital mengatakan bahawa PS5 dan Xbox Series X mungkin akan dijual dengan harga lingkungan $450 (RM1900) di mana Sony dan Microsoft perlu menanggung kerugian yang agak besar dengan harga tersebut.

Manakala, pembekal telah mula menghantar komponen kepada pemasang PS5, yang dijadualkan untuk mula menghasilkan produk secara besar-besaran pada bulan Jun ini. Ketua Sony PlayStation, Jim Ryan telah menyatakan bahawa pelancaran mesin harus dilakukan secara serentak di seluruh dunia.

Sekatan perjalanan Covid-19 telah menghalang jurutera Sony untuk terbang ke China bagi melakukan penyesuaian akhir sebelum kilang pemasangan memasuki fasa pengeluaran secara besar-besaran. Rakan pemasangan mereka telah menyuarakan keprihatinan bulan lalu mengenai memenuhi tarikh akhir pengeluaran, namun kebimbangan itu telah berkurang dan sekarang seharusnya dapat memenuhi jadual yang diminta Sony.

Sebelum ini, Sony telah mengumumkan bahawa tidak akan memberi impak besar ketika hari pelancaran PlayStation5 nanti. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

Sony Umum Covid-19 Tidak Akan Memberi Impak Besar Ketika Hari Pelancaran PlayStation5 Nanti