Kebelakangan ini, semakin banyak berita dan laporan tentang sekuel Horizon Zero Dawn yang muncul di internet. Kali ini, terdapat maklumat baharu yang telah dilaporkan oleh VGC, yang mana pihak mereka menerimanya daripada beberapa sumber yang mereka percayai.

Berdasarkan laporan daripada Video Games Chronicles itu, terdapat beberapa laporan dan khabar angin mengatakan bahawa sekuel permainan tersebut sedang dibangunkan oleh Guerilla Games. Apa yang lebih menarik lagi ialah permainan tersebut dilaporkan akan dilancarkan secara siri trilogi, sekaligus kita mungkin akan mendapat Horizon Zero Dawn 2 dan Horizon Zero Dawn 3 nanti.

Laporan ini mengatakan lagi bahawa pembangunan sekuel untuk permainan video berkonsepkan dunia terbuka futuristik-robotik itu telahpun dimulakan setelah permainan video pertama dilancarkan. Pada asalnya, studio tersebut berhasrat untuk mengeluarkan sekuelnya untuk PlayStation 4, tetapi pembikinin permainan tersebut telah beralih fokus ke PlayStation 5.

Sekuel Horizon Zero Dawn

Dari segi kandungan, Horizon Zero Dawn 2  dikhabarkan mempunyai skop berskala ‘gergasi’ dengan dunia yang lebih luas dan memiliki lebih kebebasan untuk mengembara berbanding permainan pertama dan menariknya, ianya juga mungkin akan menyertakan mod koperasi (Co-Op). Namun laporan tersebut tidak menyatakan sama ada ia akan tiba melalui mod penceritaan utama ataupun bahagian permainan sampingan.

Guerilla Games juga dilaporkan sedang merancang untuk membangunkan permainan sampingan berbentuk co-op dan keupayaan untuk membawa segala kemajuan ke permainan sekuel utama Horizon Zero Dawn.

Semestinya ini adalah hanya satu khabar angin dan seperti biasa, Sony Interactive Entertainment mahupun Guerilla Games masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi  berkenaan permainan ini. Maka, janganlah terlalu berharap kerana ianya boleh menjadi sahih atau sebaliknya pada bila-bila masanya.

Walau bagaimana pun, seperti anda sedia maklum permainan Horizon Zero Dawn semestinya salah satu permainan yang terkenal oleh Sony Interactive Entertainment dengan jumlah jualan melebihi 10 juta salinan. Selain itu, versi PC juga diumumkan bersama dengan sekuel komik.

Sebelum ini,  Guerilla akan berkolaborasi dengan Titan Comics untuk menghasilkan komik bersiri dengan jalan cerita yang baharu selepas peristiwa yang berlaku di dalam versi permainan video asal. Komik Horizon Zero Dawn jilid 1 bakal dilancarkan secara fizikal dan digital bermula 22 Julai 2020. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

Horizon Zero Dawn Bakal Dijadikan Komik Bersiri Mulai Julai Ini