Teka-teki berkenaan permainan video terbaharu Tony Hawk bukan lagi satu misteri apabila Tony Hawk, Vicarious Visions dan Activision baru-baru ini telah mengumumkan secara rasmi yang mana mereka akan membawa kembali permainan Tony Hawk’s Pro Skater 1 dan 2 sebagai versi remastered iaitu Tony Hawk’s Pro Skater 1+2.

Pengumuman tersebut dilakukan ketika acara Summer Game Fest bersama Geoff Keighley yang disiarkan secara langsung di laman Youtube. Menurut beliau, permainan tersebut akan dilancarkan pada 4 September 2020 ini di konsol PlayStation 4, Xbox One dan juga di PC (Epic Games Store).

Permainan ini dibangunkan oleh Vicarious Visions, iaitu studio yang terlibat dengan pembangunan Crash Bandicoot N.Sane Trilogy sebelum ini. Berikut merupakan trailer bagi permainan tersebut.

Berdasarkan video trailer yang diperlihatkan tersebut, permainan ini akan membawakan mod multi-pemain dengan pelbagai watak terdiri daripada beberapa Skater profesional seperti Tony Hawk sendiri bersama Steve Caballero, Geoff Rowley, Chad Muska dan sebagainya.

Lebih menarik lagi, memandangkan permainan ini merupakan versi olahan semula bagi permainan Tony Hawk Pro Skater pertama dan kedua yang dikeluarkan PlayStation 1 dahulu, Vicarious Vision akan mengunakan lokasi-lokasi asal daripada permainan tersebut seperti Warehouse dan juga Bullring yang disahkan akan kembali sebagai salah satu lokasi yang bakal tiba buat permainan tersebut.

Bukan itu sahaja, Vicarious Vision juga mengesahkan yang mana mod Create-A-Skater dan Create-A-Park juga turut akan kembali di mana pemain berupaya untuk menghasilkan watak sendiri dan juga lokasi papan luncur sendiri dengan pelbagai jenis tetapan. Pemain juga boleh kongsikan karya pemain tersebut secara atas-talian bersama pemain lain.

Difahamkan lagi, semua skater asal yang akan dibawa semula ke dalam versi remastered ini akan kelihatan seperti wajah terkini dari dunia sebenar — iaitu sudah berusia. Menurut Kotaku, Activision dan Vicarious Visions telah melakukan imbasan wajah kepada skater-skater ini khas untuk game remaster ini.

Di samping itu,  kita dapat melihat gameplay pertama Tony Hawk’s Pro Skater 1+2 melalui video yang dinaikkan di channel Youtube Jack Black, yang mana pelakon Hollywood itu mencuba permainan ini semasa meluangkan masa bersama Tony Hawk sendiri.

Bagi mereka yang membuat pra-tempahan permainan ini sekarang, pemain akan berpeluang untuk mencuba demo bagi lokasi Warehouse lebih awal.

Sebelum ini,  Geoff Keighley selaku penerbit kepada acara The Game Awards telah mengumumkan bahawa sebuah acara digital khas Summer Game Fest 2020 akan berlangsung sepanjang bulan Mei sehingga Ogos ini. Klik pautan di bawah untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan acara tersebut.

Senarai Acara Dan Pengumuman SGF 2020 Yang Telah Dikemaskini