Siri permainan video yang sangat popular iaitu Monster Hunter akan dibawa ke layar perak dalam bentuk live-action dengan menampilkan pelakon popular yang cukup dikenali dengan filem Ong-Bak iaitu Tony Jaa dan juga Mila Jovovich pelakon utama siri filem Resident Evil, nampaknya akan ditayangkan di GSC Cinemas Malaysia pada 3 September ini seperti yang dikongsikan oleh mereka di laman sosial semalam.

Sebelum ini, GSC Cinemas menyatakan bahawa filem aksi ini akan ditayangkan pada 13 Ogos 2020, tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berlansung hingga kini,tayangan filem ini ditunda ke satu tarikh yang baharu iaitu pada 3 September ini. Namun begitu, tarikh terbaharu ini juga mungkin akan dianjak lagi kerana dunia masih belum pulih sepenuhnya daripada Covid-19 ini.

Monster Hunter adalah sebuah filem aksi triler fantasi yang diarahkan dan ditulis oleh Paul W.S Anderson. Diadaptasi dari siri permainan video atas nama yang sama dari Capcom. Selain dari Mila Jovovich dan Tony Jaa sebagai pelakon utama, filem ini turut menampilkan beberapa pelakon terkenal lain seperti  T.I., Ron Perlman, Meagan Good dan Diego Boneta.

filem Monster Hunter

Untuk pengetahuan semua, filem berdasarkan siri permainan telah berada dalam fasa pembikinan sejak tahun 2012 oleh pengarah Paul W. S. Anderson. Filem ini diumumkan secara rasmi oleh Capcom pada Oktober 2018, dengan produksi dijadualkan bermula dalam bulan tersebut dengan kerjasama dari Impact Pictures dan Constantin Film. Fotografi utama filem ini bermula pada 5 Oktober 2018 dan siap pada 19 Disember 2018 di Cape Town, Afrika Selatan.

Filem ini mengisahkan sekumpulan pasukan United Nations yang telah masuk ke dalam portal yang membawa mereka ke dunia lain dimana Pemburu yang dikenali sebagai Hunters akan bertarung dengan Raksasa yang besar. Dua pasukan bekerjasama untuk mempertahankan portal tersebut daripada Raksasa yang cuba mencerobohinya dan menyerang Bumi.

Pastinya ramai sudah tidak sabar untuk menonton filem aksi ini. Sama-sama kita nantikan tayangan filem ini GSC kelak.

Sebelum ini, filem Uncharted merupakan salah satu filem terbitan Sony yang terpaksa ditunda gara-gara wabak Covid-19. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

Uncharted Antara Filem Sony Yang Ditunda Gara-Gara Wabak Covid-19